Home > Bahasa Melayu
Sumbangan Profesor Tempatan Dihargai
March 14th, 2023 | 08:34 AM |
139 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), Universiti Brunei Darussalam (UBD) baru-baru ini telah mengadakan 'Kuliah Profesor' kali pertama yang berlangsung di Pusat Kesenian Pro-Canselor, UBD.
Hadir ke majlis tersebut ialah Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle dan turut dihadiri oleh Penolong Naib Canselor UBD, Pegawai Utama, kakitangan dan penuntut UBD, ahli keluarga terdekat profesor, dan tetamu jemputan dari Pusat Sejarah Brunei, Biro Bahasa dan Sastera, dan Kementerian Pendidikan.
Setiap kuliah yang disampaikan adalah bertujuan untuk membentangkan mengenai gambaran keseluruhan sumbangan akademik profesor setakat ini dan untuk memperkenalkan keluasan dan kualiti kerja mereka kepada khalayak yang lebih luas.
Terdahulu, acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dekan FASS, Dr. Kathrina binti Dato Paduka Haji Mohd Daud.
Ini diikuti dengan ucapan oleh penceramah jemputan, Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, yang menggariskan pencapaian dan kerjaya akademik Profesor Dr. Haji Awang Asbol yang mengagumkan dari mula hingga sekarang.
Kuliah Profesor pertama menampilkan pembentangan daripada Profesor Dr. Haji Awang Asbol bin Haji Mail dari Program Pengajian Sejarah dan Antarabangsa, FASS yang bertajuk 'Sungai Kerajaan, Kuripan dan Tulin, Pentadbiran Wilayah Kesultanan Brunei : Kelahiran dan Kesinambungan': yang menyentuh tentang sejarah Brunei dan pentadbiran Kesultanan Brunei pada akhir Abad Ke-18.
Selepas ceramah itu, para tetamu jemputan telah melawat ke pameran yang mempamerkan penerbitan dan pencapaian kerja Profesor Dr. Haji Awang Asbol, yang dipamerkan di ruang legar Pusat Kesenian Pro-Canselor.
Profesor Dr. Haji Awang Asbol memulakan kerjaya akademik sebagai guru terlatih di Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SMJA), setelah lulus dengan ijazah sarjana muda kepujian kelas pertama dari UBD.
Pada 22 Januari 1990, beliau dilantik menjadi tutor di UBD dan kemudian dinaikkan pangkat menjadi pensyarah pada 23 Ogos 1996.
Pada 10 Januari 2005, Profesor Dr. Haji Awang Asbol telah dilantik sebagai pensyarah kanan, diikuti dengan pelantikan beliau sebagai Profesor Madya pada 4 Mac 2010 dan dianugerahkan jawatan profesor pada 8 Jun 2021.
Profesor Dr. Haji Awang Asbol pakar dalam sejarah Brunei, Melayu Islam Beraja dan Tamadun Melayu dan mengajar di FASS serta di Akademi Pengajian Brunei.
Beliau telah mengarang banyak penerbitan dan merupakan pengarang sejarah pendidikan di Brunei 1950 - 1985 (2005) dan sejarah kesultanan Brunei Abad Ke-19 (2011).
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]