Home > Bahasa Melayu
Hargai Keindahan, Kepelbagaian Alam Semula Jadi
March 30th, 2023 | 07:16 AM |
250 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Pada tahun 2012, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan 21 Mac sebagai Hari Hutan Antarabangsa bagi memperingati dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan semua jenis hutan.
Hutan memainkan peranan yang sangat penting dalam menjamin kesejahteraan hidup manusia dan juga hidupan lain di bumi ini.
Tema yang dipilih untuk Hari Hutan Antarabangsa pada tahun ini ialah 'Hutan dan Kesihatan', yang mengetengahkan hubung kait antara hutan dan kepentingannya kepada kesihatan manusia.
Hutan memberikan banyak manfaat kepada kesihatan manusia, seperti memberikan udara yang segar dengan menyerap karbon dioksida dan pencemar udara yang lain, di samping mengeluarkan oksigen pada masa yang sama, menyediakan sumber air yang bersih, menyediakan sumber makanan dan tumbuhan ubatan, dan memainkan peranan dalam menstabilkan iklim dunia serta mengatasi pemanasan global.
Kenyataan itu digariskan oleh Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dalam perutusannya sempena Hari Hutan Antarabangsa 2023.
Menurut Yang Berhormat, hutan juga boleh memainkan peranan dalam menyediakan kawasan untuk aktiviti rekreasi seperti berjalan, berlari, dan 'hiking'. Aktiviti sebegini akan memberikan manfaat kepada kesihatan kita.
Selain itu, kajian saintifik telah mendapati bahawa pendedahan kepada persekitaran hutan boleh memberikan manfaat kepada kesihatan fizikal dan mental, termasuk mengurangkan tahap tekanan atau stres.
Oleh yang demikian, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan melalui Jabatan Perhutanan telah mengambil inisiatif dalam memelihara taman-taman rekreasi hutan di negara ini untuk menggalakkan aktiviti riadah kepada masyarakat.
Usaha ini jelas Yang Berhormat, melibatkan penyediaan kemudahan asas di kawasan taman rekreasi hutan seperti pondok-pondok rehat, laluan 'walkway', papan-papan tanda maklumat, tempat letak kereta dan tandas awam.
Tujuan usaha ini tambahnya, adalah untuk mendorong masyarakat untuk membudayakan gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah di taman rekreasi hutan ini, di samping dapat menghargai keindahan dan kepelbagaian alam semula jadi.
Walau bagaimanapun tegasnya, hutan di seluruh dunia terdedah kepada pelbagai ancaman, seperti penebangan hutan, perubahan iklim, dan pembalakan haram, yang boleh memberikan kesan negatif kepada alam sekitar.
Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), kadar penebangan hutan di seluruh dunia adalah dianggarkan sekitar 10 juta hektar setahun di antara tahun 2015 dan 2020.
Selaku 'lead agency' bagi Strategi 2 (Liputan Hutan) di bawah Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam, Kementerian ini melalui Jabatan Perhutanan akan terus komited dalam memelihara dan memulihara hutan di negara ini termasuk dengan mengadakan program-program penanaman di sepanjang tahun dan melaksanakan pengurusan hutan yang mampan.
Adalah diharapkan bahawa agensi-agensi yang lain ujar Yang Berhormat, termasuk syarikat-syarikat swasta, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGOs) dan orang ramai akan sama-sama memainkan peranan masing-masing, khususnya dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti penanaman pokok, ke arah mendukung perlaksanaan Dasar tersebut bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan.
Hutan yang sihat memberikan manfaat kepada kesejahteraan dan kesihatan masyarakat.
Ini adalah amat relevan dengan Wawasan Brunei 2035 yang antara lainnya menitikberatkan mengenai persekitaran yang bersih dan hijau, dan ke arah menjadikan warga sihat, iaitu seperti yang dinyatakan di bawah Matlamat 2, iaitu 'Kualiti Kehidupan yang Tinggi'.
Selain dari itu terangnya, hutan yang sihat juga memberikan pelbagai manfaat ekonomi, seperti kayu dan hasil hutan yang dapat dimanfaatkan secara mampan, serta potensi untuk mengembangkan ekopelancongan.
Oleh yang demikian, kita perlu memahami bahawa pemuliharaan hutan bukan sahaja akan dapat membantu menjaga ekosistem, malahan juga boleh meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan manusia melalui pelbagai manfaat yang boleh diperolehi daripadanya.
Justeru itu, marilah kita bersama-sama melindungi dan memulihara hutan kita, serta memastikan warisan alam ini akan terus kekal untuk generasi masa depan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]