Home > Bahasa Melayu
Tingkatkan Amalan, Aktiviti Bacaan Al-Quran Melalui Rancangan TV
April 4th, 2023 | 06:50 AM |
466 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Bagi menyemarakkan lagi Sambutan Nuzul Al-Quran, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) dengan kerjasama Pusat Da'wah Islamiah (PDI) dan Radio Televisyen Brunei (RTB), hari ini, mengadakan Majlis Pelancaran Rancangan TV, 'Bacaan Hafazan 30 Juzu' Al-Quran' oleh Al-Hafiz Pelajar ITQSHHB.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan pelancaran rancangan TV, 'Bacaan Hafazan 30 Juzu' Al-Quran' yang berlangsung di Dewan Persidangan, PDI, di sini, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Pegawai Pelajaran (Al-Quran dan Al-Qira'at), Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Mohamad Hashim bin Haji Abdullah.
Sementara itu, Pengetua ITQSHHB, Pengiran Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit dalam ucapannya menjelaskan, objektif rancangan TV tersebut antaranya untuk meningkatkan lagi amalan atau aktiviti bacaan ayat-ayat Al-Quran melalui rancangan TV agar dapat meraih pahala yang berlipat ganda sempena bulan Ramadan Al-Mubarak.
Menurutnya, ia juga bertujuan bagi membarigakan rancangan TV baharu terbitan bersama dengan kerjasama RTB, Jabatan Perdana Menteri, PDI, KHEU dan ITQSHHB dan supaya penonton dapat mengikut bacaan Al-Quran dengan kaedah bacaan yang betul dan sempurna serta menghayati terjemahannya.
Tambahnya, ia juga bagi menyerlahkan peranan ITQSHHB sebagai sebuah pengajian unggul dalam bidang pembelajaran dan hafazan Al-Quran serta bakat dan kapasiti pelajar-pelajar institut melalui bacaan dan hafazan mereka.
Beliau berharap semoga dengan adanya produk itu dan kejayaan penyiarnya melalui saluran-saluran TV RTB, ia dapat memberi manfaat dan impak positif kepada umat Islam di Negara Brunei Darussalam dan di mana sahaja berada melalui apa jua saluran atau medium penyiaran RTB yang dapat diakses.
“Selaras dengan hasrat ini, Collaboration Skill dan gandingan mantap semua pemegang-pemegang taruh utama adalah amat penting bagi mengusahakan yang terbaik untuk menyiap dan menjayakan keseluruhan projek berkebajikan ini," ujarnya.
Majlis turut diserikan lagi dengan persembahan bacaan Al-Quran secara hafazan daripada pelajar-pelajar ITQSHHB dan diakhiri dengan Doa Selamat.
Rancangan TV 'Bacaan Hafazan 30 Juzu' Al-Quran' akan disiarkan di RTB Perdana pada jam 6.00 pagi dan sebelum Azan Asar. Manakala di RTB Aneka pada jam 10.00 pagi dan 5.45 petang, dan di RTB Sukmaindera sebelum Azan Zuhur dan jam 6.00 petang, setiap hari bermula Sabtu, 17 Ramadan 1444H bersamaan 8 April 2023M.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]