Home > Bahasa Melayu
Teruja Melihat Detik Sejarah 40 Tahun Kemerdekaan NBD
Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin
February 25th, 2024 | 07:23 AM | 110 views
BERAKAS
Dengan semangat kebangsaan yang membara, kita menyambut dengan gembira Sambutan Hari Kebangsaan negara tercinta Negara Brunei Darussalam (NBD) yang Ke-40 Tahun.
Setiap tahun, Sambutan Hari Kebangsaan sememangnya menyatukan setiap individu dari pelbagai golongan masyarakat, membangkitkan kebanggaan dan kasih sayang terhadap tanah air tercinta.
Sehubungan itu, tinjauan Pelita Brunei pada Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan NBD Ke-40, Tahun 2024 menyaksikan orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat turun padang untuk menyaksikan detik-detik sambutan yang bersejarah berkenaan.
Semasa ditemu bual oleh Pelita Brunei, Awang Muhammad Adib bin Azarin yang menetap di Daerah Belait menjelaskan, beliau mula bertolak dari rumah seawal 3.00 pagi kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan Sambutan Hari Kebangsaan yang Ke-40 Tahun.
Beliau seterusnya menerangkan Hari Kebangsaan tersebut merupakan hari yang sangat penting dan signifikan pada sesebuah negara yang merdeka lagi berdaulat.
"Alhamdulillah, inilah nikmat yang telah Allah Subhanahu Wata'ala kurniakan dan limpahkan kepada 'kitani' orang Brunei dan kita juga seharusnya bersyukur kerana kita juga diberikan pemimpin yang adil dan bijaksana," tambahnya.
Manakala, Dayang Nur Baizura binti Jeffery dari Kampung Rimba semasa ditemu bual Pelita Brunei menjelaskan, beliau sangat teruja dengan Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan NBD Ke-40, Tahun 2024 berkenaan.
Terangnya, sebagai rakyat NBD, adalah sangat penting bagi beliau untuk menyaksikan sambutan yang sangat bermakna berkenaan yang mana setiap peserta yang hadir bekerja keras untuk menyempurnakan perbarisan dan persembahan semasa upacara sambutan.
Beliau berserta dengan dua rakannya yang hadir seterusnya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan yang Ke-40 Tahun kepada semua rakyat dan penduduk di NBD.
Sementara itu, Pelita Brunei juga turut berkesempatan untuk menemu bual Awang Mohamad Asyramisyanie bin Kamis yang merupakan Pemangku Ketua Kampung Kulapis.
Awang Mohamad Asyramisyanie semasa ditemu bual melahirkan rasa terujanya dan bangga sebagai anak Brunei untuk melihat NBD terus merdeka serta berdaulat di bawah naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.
"Setiap tahun kita akan melihat kelainan demi kelainan meskipun ia dibuat sama ada di Bandar Seri Begawan atau di Stadium Negara. Suasana dan semarak Hari Kebangsaan tidak akan dapat dipisahkan dengan rasa gembira dan keriangan di wajah semua penduduk negara ini.
“Serta semangat patriotisme ini adalah bukti bahawa Hari Kebangsaan adalah acara yang dinanti-nantikan dan amat ditunggu rakyat negara ini," terangnya.
Beliau seterusnya menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah DYMM di atas keberangkatan baginda menyerikan majlis dan menyampaikan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh warga Brunei ke atas Hari Kebangsaan Ke-40.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]