Home > Bahasa Melayu
Pendekatan Holistik, Bersepadu Menjurus Pembangunan Modal Insan
Hernie Suliana Haji Othman, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
March 1st, 2024 | 07:14 AM |
416 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-20 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bersidang bagi hari ketiga turut mengongsikan hasil daripada inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan di bawah fokus keutamaan belanjawan pada tahun-tahun yang lalu, yang menjurus kepada pembangunan modal insan.
Fokus ini telah berhasil membukakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat dan penduduk khususnya belia-belia di negara ini dan menyediakan latihan-latihan peningkatan kapasiti dan kemahiran ke arah meningkatkan produktiviti negara.
Pelbagai pendekatan dan tindakan secara holistik serta bersepadu telah dan sedang dilaksanakan bersama agensi-agensi yang berkaitan, termasuklah meningkatkan kebolehpasaran belia melalui pendidikan dan latihan kemahiran, sokongan untuk 'entrepreneurship' (keusahawanan) dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan penjanaan lebih banyak lagi peluang pekerjaan baharu di sektor swasta melalui pelaburan strategik dalam Sektor-sektor Hiliran dan Industri Pemakanan dan Agro-pertanian.
Dalam bidang pendidikan, ujar Yang Berhormat, negara telah memperoleh keputusan PISA atau Programme for International Student Assessment atau Program Penilaian Pelajar Antarabangsa 2022, di mana Negara Brunei Darussalam (NBD) adalah salah satu daripada tiga negara teratas dari negara-negara ASEAN yang ikut serta, dalam semua domain PISA 2022 dengan peningkatan sebanyak 12 skor dalam Matematik, 21 skor dalam Membaca dan 15 skor dalam Sains berbanding PISA 2018.
Pencapaian ini adalah hasil daripada usaha gigih para pendidik di negara ini dalam membantu semua pelajar mencapai potensi mereka sepenuhnya. "Bagi membentuk masa depan tenaga kerja di negara ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengurniakan titah perkenan ke atas isi kandungan Manpower Blueprint yang diterajui oleh Kementerian Pendidikan dan Manpower Planning and Employment Council (MPEC).
“Manpower Blueprint adalah sebagai garis pandu dan hala tuju bagi agensi pelaksana dan pihak berkepentingan ke arah pencapaian matlamat Wawasan Brunei 2035, terutamanya Matlamat 1 iaitu melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya. Pembarigaan Manpower Blueprint akan dilaksanakan dalam tahun 2024 ini, kepada kementerian-kementerian, jabatan-jabatan, pihak swasta, institusi pengajian tinggi dan pihak-pihak yang berkepentingan.
“Dalam menangani 'mismatch' di antara pembekalan dan permintaan tenaga kerja secara berkesan, Manpower Industry Steering Committee (MISC) akan terus menyediakan program serta inisiatif bagi memastikan bekalan tenaga kerja tempatan adalah sejajar dan sepadan dengan peluang pekerjaan yang tersedia," ujar Yang Berhormat.
Dalam masa yang sama, tambah Yang Berhormat, MISC juga melaksanakan inisiatif dan strategi yang akan dapat menangani isu pengangguran bagi jangka masa panjang termasuk penjanaan pekerjaan-pekerjaan baharu, 'displacement of foreign worker' dan penyediaan kursus melalui 'upskilling' dan 'reskilling'. Setakat ini, MISC telah menjalankan program-program kerjaya di bawah Sektor-sektor Hospitaliti dan Pelancongan, Pembinaan, ICT, Tenaga, Pengangkutan dan Logistik. Beberapa program akan dilaksanakan pada tahun 2024 ini antaranya adalah seperti di bawah Sektor Tenaga, kursus Juruteknik Elektrik dalam Solar Photovoltaic secara rintis akan dilancarkan pada bulan Julai 2024.
Di bawah Sektor Hospitality dan Tourism, ujar Yang Berhormat, MISC akan menyediakan 'competency framework' bagi empat jenis jawatan. Di samping itu, satu program latihan juga akan diadakan khusus bagi Pemandu Pelancong ataupun 'tourist guide' dan yang berkeinginan untuk menjadi Pemandu Pelancong yang berdaftar.
“Di bawah Sektor Info-Komunikasi dan Teknologi, Program TechInspire akan dijalankan di mana seramai 50 orang anak tempatan dijangka untuk mengikuti latihan bagi jawatan IT Technician dan Network Technician," tambah Yang Berhormat.
MPEC juga telah memperkenalkan beberapa program dan inisiatif seperti berikut Structure Apprenticeship Program (SAP) bagi memperoleh sijil, lesen dan pendaftaran bagi bidang kerjaya yang tertentu. Program pertama adalah Clinical Supervisory Program bagi graduan baharu dalam bidang Allied Health Professionals dengan kerjasama bersama Kementerian Kesihatan. Kohort pertama bagi program ini akan berjalan selama 18 bulan mulai suku pertama tahun 2024 secara latihan sambil bekerja ataupun 'on-the-job training' untuk seramai 30 orang peserta.
“Program Study in Professional Institution (SPIN) dalam bidang Accountancy, di mana pada masa ini dalam sesi pengajian Kohort Ke-4 telah bermula pada bulan Januari 2024. Pada masa ini, MPEC sedang meneroka peluang untuk mengembangluaskan kursus-kursus profesional dalam bidang yang berlainan mengikut keperluan industri di bawah program ini.
“Program SkillsPlus, untuk memberi peluang dan bantuan pembiayaan kepada pencari kerja tempatan untuk melatih semula dan meningkatkan kemahiran. Sebanyak 13 bidang di dalam program tersebut telah dikemas kini selaras dengan keperluan daripada industri ke arah memastikan ia adalah sejajar dengan Economic Blueprint dan Manpower Blueprint.
“Untuk memenuhi permintaan yang sentiasa meningkat khususnya dalam bidang pendidikan teknikal dan vokasional, serta memperkasa kapasiti dan kemahiran tenaga kerja, Skim Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional ataupun TVET telah diperkenalkan khusus bagi pelajar lepasan Peringkat 'O' yang mempunyai 3 'O' dan ke bawah untuk mengikuti pengajian di Institusi-institusi Pengajian Tinggi Swasta. Setakat ini, sebanyak dua pengambilan telah dijalankan di mana seramai 141 orang telah mengikuti program ini," ujar Yang Berhormat.
Sebagai satu langkah untuk meningkatkan kesejahteraan pekerja di negara ini, Perintah Pekerjaan (Upah Minimum) 2023 telah diperkenalkan dan dikuatkuasakan pada 12 Julai 2023 untuk menetapkan kadar gaji minimum (BND500 sebulan) yang perlu dibayar oleh majikan kepada setiap pekerja.
“Dalam hal ini, para majikan diberikan tempoh peralihan selama enam bulan dari tarikh berkuat kuasanya perintah berkenaan untuk mengambil langkah persediaan yang bersesuaian. Dasar gaji minimum akan dilaratkan kepada semua industri secara berfasa di mana ia bermula dengan fasa pertama iaitu industri Perbankan dan Kewangan; dan Industri Info-Komunikasi dan Teknologi," ujar Yang Berhormat pada persidangan yang diadakan di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Kerajaan juga menyedari bahawa terdapat isu kekurangan jururawat dan keperluan untuk meningkatkan lebih ramai lagi pekerja di dalam Sektor Kesihatan. Oleh itu, JPMC College of Health Sciences Sdn. Bhd. telah dilancarkan pada bulan Ogos 2023, yang merupakan sebuah kerjasama antara Jerudong Park Medical Centre Sdn. Bhd. dan Far Eastern University dari Republik Filipina. Bagi Tahun Akademik 2023 / 2024, seramai 137 pelajar sedang menjalani kursus asas dalam bidang Sains ataupun Foundation in Science Certificate dan seramai 70 pelajar sedang menjalani kursus Sarjana Muda dalam Kejururawatan (Bachelor of Science in Nursing).
Di samping inisiatif-inisiatif yang dihasratkan tadi, ujar Yang Berhormat, Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) yang dilaksanakan pada bulan Julai 2023 yang lalu, menggalakkan para pekerja untuk berkhidmat dan terus produktif bagi membolehkan mereka menerima pendapatan semasa bersara dengan lebih baik dan sepanjang hayat serta perlindungan manfaat turunan juga boleh dirasai oleh tanggungan-tanggungan ahli.
“Skim ini adalah inklusif yang bukan saja memberikan manfaat kepada pekerja dalam sektor swasta dan kerajaan, malah juga termasuk masyarakat yang produktif dalam sektor bukan formal atau bekerja sendiri. Berikutan pelaksanaan skim ini, seramai 93 peratus ahli atau 178,775 ahli telah mengikuti SPK. Alhamdulillah, baru-baru ini, SPK telah dianugerahkan '2024 Best of the Best Awards' yang telah dikelolakan oleh Asia Asset Management (AAM) di bawah kategori Most Improved Pension Fund di rantau ASEAN," ujar Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Muhammad Zulkamal Awang Haji Kamis
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]