Home > Headline
Kebawah DYMM Berkenan Menerima Mengadap
Mohamad Azmi Awang Damit
March 8th, 2024 | 07:13 AM | 153 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menerima mengadap Ketua Hakim Negara Malaysia, Yang Amat Arif Tun Tengku Maimun binti Tuan Mat, yang berada di negara ini pada 5 hingga 8 Mac 2024.
Semasa Majlis Mengadap tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Darussalam dan Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara Malaysia telah berbincang mengenai perancangan dalam kerjasama kehakiman di antara kedua-dua buah negara, termasuk pengalaman penggunaan teknologi Artificial Intelligence (AI).
Yang Amat Arif Ketua Hakim Negara Malaysia berada di negara ini atas jemputan Mahkamah Besar Negara Brunei Darussalam (NBD) untuk membuat kunjungan balas lawatan kerja ke NBD dan seterusnya mengadakan perjumpaan bersama Yang Arif Ketua Hakim Mahkamah Besar, NBD dan menandatangani 'Memorandum of Judicial Cooperation' di antara Mahkamah Besar NBD dan Mahkamah Persekutuan Malaysia.
Melalui memorandum ini, kedua-dua badan kehakiman mempunyai platform untuk mengukuhkan komunikasi, memudahkan pembelajaran bersama dan menggalakkan inisiatif kerjasama terutama dalam bidang pentadbiran kehakiman, kepimpinan dan tadbir urus mahkamah.
Menyertai Yang Amat Arif semasa Majlis Mengadap tersebut ialah Hakim Mahkamah Tinggi Malaysia; Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia; dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke NBD.
Turut hadir ialah Ketua Hakim Mahkamah Besar, NBD, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Steven Chong Wan Oon; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Pesuruhjaya-pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Besar; dan Pemangku Pendaftar Mahkamah Besar.
Majlis Mengadap tersebut berlangsung di Istana Nurul Iman.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Haniza Abdul Latif
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]