Home > Bahasa Melayu
UNISSA Terima Karya Seni Kaligrafi Islam
PYT Nagma M. Mallick menyempurnakan penyerahan sebanyak 38 karya seni kaligrafi Islam kepada UNISSA.
August 28th, 2018 | 10:47 AM | 691 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Seni Kaligrafi Islam atau Arab adalah amalan artistik penulisan yang selalunya berasaskan bahasa Arab atau ayat-ayat suci Al-Quran.
Ia berkemungkinan merupakan seni Islam paling dihormati dengan menggabungkan bahasa, agama dan usaha seni.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Pesuruhjaya Tinggi India ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nagma M. Mallick semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menyerahkan Karya Seni Kaligrafi Islam kepada Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), berlangsung di perpustakaan universiti berkenaan.
Menurut beliau, reproduksi kaligrafi asli yang terpilih itu adalah daripada Perpustakaan Rampur Raza, India, yang menempatkan lebih 3,000 kaligrafi, lukisan dalam bentuk miniatur dan manuskrip.
Beliau berkata, India mempunyai tradisi kuno dalam hiasan artistik dan ukiran batu serta estetik, antaranya ditunjukkan dalam muzik, tarian dan tekstilnya.
Tambahnya, kedatangan tradisi Islam ke India memulakan proses integrasi di antara dua tradisi tersebut, di mana seni, muzik dan budaya berkenaan, termasuk Kaligrafi Islam berkembang pada zaman Mughal.
Pada majlis terebut, PYT Nagma M. Mallick menyempurnakan penyerahan sebanyak 38 karya seni kaligrafi Islam kepada UNISSA.
Terdahulu, Rektor UNISSA, Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal dalam ucapan alu-aluannya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pesuruhjaya Tinggi India ke Negara Brunei Darussalam atas sumbangan karya seni berkenaan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by Pelita Brunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]