Home > Bahasa Melayu
Dua Ahli ASEAN-ERAT Negara Berlepas Ke Sulawesi
DUA orang Ahli ASEAN-ERAT (Emergency Response Assessment Team) dari Negara Brunei Darussalam (seorang dari NDMC dan seorang dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) berlepas ke Sulawesi, Indonesia bagi memberi bantuan kepada Kerajaan Indonesia dalam pengu
October 11th, 2018 | 13:26 PM |
362 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) telah menghantar dua orang Ahli ASEAN-ERAT (Emergency Response Assessment Team) dari Negara Brunei Darussalam iaitu seorang dari NDMC dan seorang dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) ke Sulawesi, Indonesia, hari ini.
Penghantaran ahli ASEAN-ERAT itu adalah untuk memberi bantuan kepada Kerajaan Indonesia dalam pengurusan operasi bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda Sulawesi Tengah, Indonesia pada 28 September lalu.
Hadir bagi mengucapkan selamat belayar di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Ajman bin Haji Meludin.
Pegawai-pegawai yang dihantar ialah Penguasa Bomba dan Penyelamat, Timbalan Pemerintah Cawangan Operasi B Kuala Belait, Awang Mohammad Shazwan bin Suhanie dan Penguasa Bomba dan Penyelamat, NDMC, Awang Mohammad Fairul Idzuan bin Awang Jahri.
Berdasarkan kepada Laporan Situasi No. 09 bertarikh 8 Oktober 2018 keluaran ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on Disaster Management (AHA Centre), seramai 10,679 orang mengalami kecederaan dan 1,948 korban jiwa dicatatkan sehingga kini dan 74,444 orang kehilangan tempat tinggal.
Ahli-ahli ASEAN-ERAT dari Negara Brunei Darussalam (NBD), Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand telah ditugaskan oleh AHA Centre selama 10 hari untuk membuat penilaian segera di kawasan-kawasan terjejas dan mengumpul maklumat tentang skala dan impak bencana, di samping menilai keperluan penduduk yang terjejas sebagai mendukung usaha-usaha pihak Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia.
Ahli ASEAN-ERAT dikerahkan sebagai salah satu tindakan NBD untuk memperkukuhkan lagi semangat ASEAN dan mempamerkan komitmen negara dalam mendukung pelaksanaan ASEAN Agreement on Disaster Management and Emergency Response (AADMER) dan Deklarasi 'One ASEAN One Response'.
Perkembangan di Sulawesi akan terus dipantau dari masa ke masa oleh NBD melalui AHA Centre dan NDMC.
Juga hadir, Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan merangkap Pemangku Pengarah Bomba dan Penyelamat, Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said serta pegawai-pegawai dan kakitangan dari jabatan-Jabatan KHEDN, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Kementerian Kesihatan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]