Home > Bahasa Melayu
Tinjau Pejabat Pos Pusat Memproses Mel
AHLI-AHLI Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara (MMN) melihat lebih dekat mengenai barangan berdaftar, paket kecil, bungkusan mel iklan, EMS Poslaju Tempatan dan Ems Speedpost Antarabangsa.
October 30th, 2018 | 08:57 AM | 470 views
BERAKAS
Ahli-Ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara (MMN) meneruskan lawatan kerja ke Jabatan Perkhidmatan Pos di Pejabat Pos Pusat Memproses Mel, Lapangan Terbang Lama Berakas sebagai persediaan bagi Sesi Muzakarah Ahli-ahli Yang Berhormat dengan Kementerian Perhubungan yang akan diadakan pada 26 November 2018 nanti.
Lawatan bermula di Bahagian Memproses Mel yang mana Ahli-ahli Yang Berhormat berpeluang untuk melihat secara lebih dekat kerja-kerja pemprosesan, pemeriksaan x-ray dan penyisihan mel-mel yang sampai di Pusat Memproses Mel selain diberikan taklimat mengenai jenis-jenis mel seperti surat, barangan berdaftar, paket kecil, bungkusan mel iklan, EMS Poslaju Tempatan dan Ems Speedpost Antarabangsa.
Pada tahun 2017, jumlah peratus mel terbanyak adalah surat 89.5 peratus, paket kecil 5.9 peratus diikuti dengan mel iklan 3.2 peratus, EMS Poslaju Tempatan 0.7 peratus, EMS Speedpost Antarabangsa 0.5 peratus dan bungkusan 0.2 peratus.
Ahli-ahli Yang Berhormat juga berkesempatan untuk mengetahui agensi-agensi yang terlibat dalam pengendalian dan pemprosesan mel seperti Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, yang berperanan sebagai agensi penguatkuasa dalam menentukan barangan pos tersebut boleh dihantar terus (dengan memberi label hijau) atau barangan pos tersebut memerlukan pemeriksaan lanjut oleh pihak-pihak berkuatkuasa yang berkenaan termasuk barangan bercukai dan terkawal (dengan memberi label berwarna merah).
Seterusnya, Ahli-ahli Yang Berhormat juga diberikan penerangan mengenai sistem aplikasi BruTRACK yang mula diperkenalkan pada Januari 2018 yang berfungsi sebagai aplikasi pengesanan barangan pos untuk membantu orang ramai bagi mengetahui keadaan status barangan pos mereka dengan lebih tepat.
Ahli-ahli Yang Berhormat turut dibawa melawat ke Pusat Perkhidmatan Pelanggan (CSC), mini pameran produk filateli serta penerangan mengenai dengan pelaksanaan Projek Rintis Sistem Qpintar QueUp yang diperkenalkan baru-baru ini.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PelitaBrunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]