Home > Bahasa Melayu
Peserta Pengakap Kelana ASEAN Lawat Tempat Menarik
PARA peserta Perkumpulan Pertama Pengakap Kelana ASEAN mendengarkan penerangan semasa berada di kawasan Taman Rekreasi Wasai Wong Kadir.
December 14th, 2018 | 09:38 AM |
383 views
MUKIM LABI
Seramai 67 peserta Perkumpulan Pertama Pengakap Kelana ASEAN, Negara Brunei Darussalam bagi Persatuan Pengakap Daerah Belait meneruskan program hari kedua dengan lawatan ke Taman Rekreasi Wasai Wong Kadir yang terletak di Mendaram Kecil.
Lawatan disertai oleh Yang Dipertua Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Awang Haji Matusin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba; Ketua Pesuruhjaya PPNBD, Awang Haji Badar bin Awang Haji Ali; Ketua Pesuruhjaya Negeri Selangor Persekutuan Pengakap Malaysia, Awang Haji Ishak bin Mohd. Jonid; Pegawai Eksekutif PPNBD / Setiausaha Latihan PPNBD, Awang Zainudin bin Haji Ishak dan Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Pengakap Tunas, Dayang Hajah Noraini binti Haji Saidi.
Para peserta didedahkan dengan Pameran dan Demo Ikhtiar Hidup yang dikendalikan oleh Batalion Ketiga Lumut, antaranya cara membuat jerat tupai, jerat pelanduk, pondok sehari, sangkar hidup, jerat langgar dan jerat burung.
Selepas lawatan dari Taman Rekreasi Wasai Wong Kadir peserta dibawa melawat ke Rumah Panjang Mendaram Besar, Mukim Labi 2 dan disambut oleh Ketua Rumah Panjang, Berandi anak Jamau. Di sini para peserta diberikan taklimat mengenai rumah panjang, alat bunyi-bunyian, cara menyumpit dan Tarian Ngajat serta sedikit jualan hasil produk rumah panjang tersebut.
Peserta turut dibawa melawat ke persekitaran Pekan Seria sebelum pulang ke tempat penginapan di Kompleks Sukan Mumong.
Aktiviti pada sebelah malam, para peserta menyampaikan sesi kongsi sama mengenai pengalaman sebagai Ahli Pengakap Kelana dari PPNBD, Singapore Scouts Association, Persekutuan Pengakap Malaysia, Pathfinder of Viet Nam, Boy Scouts of the Philippines dan Gerakan Pramuka Indonesia.
Pada hari ketiga, aktiviti diteruskan dengan kerja kemasyarakatan ke Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam Cawangan Daerah Belait dan Persatuan KACA Brunei Cawangan Daerah Belait. Program berakhir pada 17 Disember ini.
Adalah diharapkan, melalui program berkenaan para peserta memperoleh ilmu yang bermanfaat di sepanjang penempatan di Daerah Belait dan mengenali lebih dekat masyarakat setempat serta makanan-makanan tempatan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]