Home > Bahasa Melayu
Pengiran Md. Khairul Bahri Johan Kategori Pro 70kg, Muay
SHAHDON bin Haji Kassim (kiri), Pengiran Md. Khairul Bahri bin Pengiran Aliumar (tengah) dan Shahrin bin Haji Kassim (kanan).
December 30th, 2018 | 07:26 AM |
549 views
BANDAR SERI BEGAWAN
Pengiran Md. Khairul Bahri bin Pengiran Aliumar berjaya menaikkan nama negara selepas meraih gelaran johan pada Pertandingan Original Pro Muay Thai yang berlangsung di Bangla Boxing Stadium di Phuket, Thailand pada 26 Disember lalu.
Gelaran johan tersebut berjaya diraih apabila beliau menewaskan lawan beliau dari Thailand, sekali gus menjadikannya sebagai atlet Muay Thai Brunei pertama yang berjaya meraih gelaran yang berprestij itu.
Buat pertama kalinya, seramai tiga atlet Negara Brunei Darussalam menyertai Pertandingan Original Pro Muay Thai tersebut yang turut menampilkan peserta antarabangsa lainnya dari Australia, China, Cyprus, Perancis dan negara hos, Thailand, yang juga merupakan negara jaguh Muay Thai.
Dua lagi peserta Brunei, Shahrin bin Haji Kassim dan Shahdon bin Haji Kassim masing-masing menyertai Kategori Pro 65kg dan Kategori Pro 90kg tidak dapat meneruskan perlawanan mereka disebabkan oleh kecederaan.
Johan Kategori Pro 70kg, Pengiran Md. Khairul Bahri ketika ditemui Pelita Brunei di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei melahirkan rasa gembira dan bangga kerana mampu mengharumkan nama negara, sekali gus membuktikan petinju dari Brunei juga tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan petinju dari negara-negara lain.
Jelasnya, untuk meraih kejayaan tersebut memerlukan latihan yang cukup, yang mana latihan yang dijalankan oleh beliau mengambil masa lebih kurang setahun, tetapi membuahkan hasil yang menakjubkan.
''Kemenangan saya itu memang sesuatu yang tidak disangkakan. Sokongan yang padu juga perlu daripada orang sekeliling seperti keluarga dan usaha jurulatih yang tidak putus-putus memberikan semangat demi untuk mencapai apa yang saya peroleh pada hari ini,'' ujarnya.
Menyentuh mengenai perancangan pada masa akan datang, insyaaAllah beliau akan mengikuti perlawanan seterusnya yang bakal diadakan di Pattaya, Thailand dan Melaka, Malaysia pada tahun hadapan.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PelitaBrunei
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]