FacebookInstagramTwitterContact

 

Inter Regu National League Sepak Takraw           >>           Singapore Premier League           >>           Briefing on STEAM Education           >>           Mental Health Roadshow           >>           Mental Health Roadshow           >>           Outstanding Academic Award Presentation           >>           Implementation of TAFIS 2.0 System           >>           9 Houses Razed in Fire           >>           9 Houses Razed in Fire           >>           Donation Presentation           >>          

 

SHARE THIS ARTICLE




REACH US


GENERAL INQUIRY

[email protected]

 

ADVERTISING

[email protected]

 

PRESS RELEASE

[email protected]

 

HOTLINE

+673 222-0178 [Office Hour]

+673 223-6740 [Fax]

 



Upcoming Events





Prayer Times


The prayer times for Brunei-Muara and Temburong districts. For Tutong add 1 minute and for Belait add 3 minutes.


Imsak

: 05:01 AM

Subuh

: 05:11 AM

Syuruk

: 06:29 AM

Doha

: 06:51 AM

Zohor

: 12:32 PM

Asar

: 03:44 PM

Maghrib

: 06:32 PM

Isyak

: 07:42 PM

 



The Business Directory


 

 



Breaking News


  Home > Breaking News


Berkenan Berangkat Ke Majlis Sambutan Hari Guru Ke-33


Foto: Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohd. Sahrizal Haji Said, Muhammad Asri Haji Awang Abas

 


 September 24th, 2023  |  06:37 AM  |   78 views

BERAKAS

 

Negara Brunei Darussalam (NBD) menyambut Sambutan Hari Guru sebagai memperingati dan menghargai sumbangan jasa para pendidik di negara ini.

 

Sambutan berkenaan juga adalah sebagai usaha untuk memartabatkan kerjaya perguruan yang banyak menyumbang kepada pembangunan kapasiti tenaga manusia di negara ini pada setiap 23 September.

 

Sehubungan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Guru NBD Ke-33, Tahun 2023 yang diadakan pagi tadi di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini.

 

Berangkat sama ialah paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

 

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh selaku Pengerusi Bersama Majlis serta Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari Guru NBD Ke-33, Tahun 2023.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah khusus buat ayahanda Kebawah DYMM, Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dan guru-guru yang telah kembali ke rahmatullah, diikuti dengan Doa Selamat yang dipimpin oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

 

Majlis diteruskan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran daripada Surah Al-Qalam (ayat 1 hingga 7) oleh Pegawai Pelajaran Tarannum, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Awang Ahmad Zulwaqar bin Haji Suhaili, sementara inti sari ayat disampaikan oleh Pegawai Pelajaran, ITQSHHB, Awang Muhammad Najib bin Haji Aliakbar.

 

Seterusnya, Menteri Pendidikan, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari Guru Ke-33, Tahun 2023 menyembahkan sembah alu-aluan, diikuti dengan titah Kebawah DYMM.

 

Majlis juga diserikan dengan tayangan klip video Hari Guru yang mengongsikan perjalanan, pengorbanan dan perkembangan seorang guru sepanjang kerjayanya sebagai pendidik, diikuti dengan montaj inisiatif para guru di NBD sebagai pemacu transformasi dalam memberikan pendidikan yang berkualiti demi menghasilkan insan-insan yang cemerlang.

 

Acara kemudiannya diteruskan lagi dengan persembahan lagu Hari Guru Ke-33 yang diilhamkan sempena Maulidur Rasul bertajuk 'Murabbi Ya Muhammad' dan lagu-lagu medley bertajuk 'Terima Kasih Cikgu', 'Guru Berkualiti Teras Kecemerlangan Pelajar', 'Jasamu Terpatri' dan 'Guruku Harapan Negara'.

 

Pasukan persembahan berkenaan terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi Universiti Brunei Darussalam dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan serta para pelajar daripada Sekolah Menengah Chung Hwa, Bandar Seri Begawan; Sekolah Rendah Mulaut; Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Sekolah Ugama Anggerek Desa yang berjumlah seramai 32 orang.

 

Seterusnya, Kebawah DYMM berkenan menyempurnakan pengurniaan Anugerah-anugerah Hari Guru Ke-33, Tahun 2023 kepada para penerima yang terdiri daripada dua penerima Anugerah Guru Berjasa, lapan penerima Anugerah Guru Cemerlang dan 29 penerima Anugerah Penghargaan Hari Guru (Special Mention).

 

Di akhir majlis, Kebawah DYMM serta kerabat diraja yang lain dijunjung berangkat bagi sesi bergambar ramai bersama para penerima anugerah dan Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Guru Ke-33.

 

Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran Pelan Strategik 2023-2027 Kementerian Pendidikan.

 

Pelan Strategik berkenaan merupakan manifestasi komitmen kementerian tersebut dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035, melalui misinya 'Untuk Menyediakan Pendidikan Yang Berkualiti dan Holistik untuk Kehidupan Pelajar Yang Bermatlamat'.

 

Berpandukan kepada visi 'Pendidikan Berkualiti, Negara Progresif', pelan strategik berkenaan menetapkan hala tuju untuk memupuk kecemerlangan pendidikan, mengukuhkan keupayaan sistem pendidikan secara keseluruhan, menyokong kepelbagaian keupayaan dan bakat yang responsif kepada perubahan sistem pendidikan yang dinamik bagi lima tahun akan datang.

 

Kebawah DYMM juga berkenan menyempurnakan pelancaran Buku Bergambar (Photobook) bertajuk 'Education Resilience : Brunei Darussalam's COVID-19 Journey'.

 

Buku berkenaan merakamkan kedayatahanan tinggi sistem pendidikan ketika negara dilanda pandemik COVID-19. Selain itu, ia juga bertujuan untuk merakamkan penghargaan atas sumbangan segenap lapisan warga pendidikan dalam memastikan pengajaran dan pembelajaran tetap berjalan ketika negara dan dunia dilanda musibah.

 

Buku berkenaan melakarkan detik dan peristiwa yang berlaku melalui penceritaan bergambar, bermula dari sesi persekolahan ditutup, fasa de-eskalasi serta pemulihan kehilangan masa kurikulum.

 

Seterusnya, Kebawah DYMM dijunjung berangkat menyaksikan pameran sempena Sambutan Hari Guru Ke-33 di ruang legar.

 

Konsep pameran Sambutan Hari Guru pada tahun ini menjurus kepada dua bahagian, iaitu Ruang Centrepiece dan Ruang Pameran, selaras dengan tema Sambutan Hari Guru Ke-33, 'Guru Berkualiti Pemacu Transformasi Pendidikan'.

 

 Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Kebawah DYMM juga berkenan menerima junjung ziarah daripada para guru, pelajar, siswa dan siswi daripada pelbagai peringkat pendidikan dan institusi serta para peserta persembahan.

 


 

Source:
Ihsan PELITA BRUNEI

by Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin

 

If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]

 

Related News


Lahad Datu Murder: Remand Of 13 Students Extende

 2024-03-30 07:57:54

Hundreds Feared Dead In Afghanistan Flash Flooding

 2024-05-12 01:56:04

UK Economy Is Improving But People May Not Notice

 2024-05-11 05:29:59