Home > Bahasa Melayu
Walkaton Eratkan Hubungan Silaturahim
March 13th, 2023 | 07:29 AM |
135 views
MENTIRI
Program Walkaton Kampung Ku Ceria : Satu Kampung Satu Keluarga anjuran Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan Perumahan Negara (RPN) II Kampung Mentiri berjaya merapatkan lagi hubungan kekeluargaan dan keharmonian kampung berkenaan.
Program yang mendapat sambutan itu juga dimeriahkan lagi dengan kehadiran Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Islam Iran ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Homeira Rigi Zirouki dan Pesuruhjaya Tinggi Republik Islam Pakistan ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mejar Jeneral (B) Farhat Abbas Sani.
Program walkaton tersebut dirasmikan oleh Pemangku Penghulu Mukim Mentiri, Pengiran Haji Ismail bin Pengiran Ibrahim yang juga seterusnya melepaskan tanda bermulanya walkaton sejauh 3 kilometer yang bermula dan berakhir di rumah Pemangku Ketua Kampung RPN II.
Setiausaha Program Walkaton Kampung Ku Ceria : Satu Kampung Satu Keluarga, Awang Haji Nizam bin Haji Julaihi selaku Pemangku Ketua Kampung RPN II melahirkan rasa gembira dan penghargaan kepada peserta dan hadirin yang sama-sama menjayakan program kekeluargaan berkenaan.
Seterusnya, beliau berkata bahawa program bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-39 Tahun itu dihasratkan untuk merapatkan lagi hubungan institusi kekeluargaan di samping menyemai rasa harmoni khususnya dalam kalangan para peserta dan penduduk kampung.
Aktiviti kekeluargaan itu juga dimeriahkan perasmian program 'Dibuang Sanang' yang menyediakan secara percuma pakaian-pakaian terpakai kepada yang memerlukan di mana ia merupakan hasil sumbangan dari orang ramai.
Source:
Ihsan PELITA BRUNEI
by PELITA BRUNEI
If you have any stories or news that you would like to share with the global online community, please feel free to share it with us by contacting us directly at [email protected]