• Today: July 19, 2026

JPM adakan Majlis Doa Kesyukuran sempena Hari Keputeraan

Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya merafakkan doa, "Allahumma Ya Rahmanu Ya Rahim, bersempena dengan Hari Keputeraan raja kami, Al-Wathiq Billah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-80 Tahun, kami selaku rakyat jelata di Negara Brunei Darussalam merafakkan rasa syukur dan gembira di atas nikmat lanjut usia, sihat tubuh badan serta kekal karar memerintah bagi raja kami, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

"Allahumma Ya Allah Ya Tuhan kami, mohon perkenankan doa kami, supaya kami terus konsisten mengasihi raja kami, terus menyokong dan mendukung kepimpinan baginda, sehingga dengan itu dapatlah baginda merealisasikan harapan baginda sendiri dan harapan seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam untuk melihat negara ini menjadi sebuah negara yang maju, yang mantap lagi aman di bawah naungan dan pemeliharaan Allah. Fallahu khairun hafiza, wa huwa arhamur rahimin," bacaan doa yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Mohammad Izzat Izzuddin bin Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran.

Pada Majlis Doa Kesyukuran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun bagi Tahun 1448 Hijrah / 2026 Masihi, sambil menadah tangan seraya berdoa, "Allahumma, lanjutkan usia raja kami, Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, ahli kerabat baginda, para hadirin dan rakyat sekalian, di dalam iman dan takwa, sihat afiat, aman makmur lagi sejahtera".

"Allahumma Ya Allah kami bermohon, supaya dikekalkan segala nikmat, yang kami dan negara sedang nikmati : nikmat iman, nikmat Islam, nikmat perpaduan, nikmat keamanan, nikmat hidup harmoni, nikmat kemakmuran dan keadilan di bawah payung Allah di bumi, raja yang soleh lagi beriman. Ya ni'mal mawla wa ya ni'man naseer," bacaan doa rakyat jelata.

Hadir pada majlis berlangsung di Masjid As-Shaliheen, Kompleks Bangunan JPM, di sini ialah Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof; dan Menteri di JPM (Urustadbir Perkhidmatan Awam), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad.

Turut hadir, Menteri di JPM (Sekuriti dan Undang-Undang), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu; dan Menteri di JPM (Tenaga, Huluan dan Hiliran), Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah.

Juga hadir, Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Dato Paduka Seri Awang Sulaiman bin Alidin dan juga berangkat, Timbalan Pesuruhjaya Polis, PPDB, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Dato Seri Pahlawan Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris.

Majlis juga dihadiri oleh Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap, pegawai-pegawai kanan serta para pegawai dan kakitangan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah yang diimamkan oleh Awang Haji Mohammad Izzat Izzuddin, diikuti bacaan Surah Yaa Siin yang dikepalai oleh Pembantu Masjid berkenaan, Pengiran Haji Mohammad Khairul Anuar bin Pengiran Haji Othman.

Sejurus selesai Doa Khas dibacakan dan kemudiannya diikuti dengan menunaikan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah yang diimamkan oleh Imam Masjid Ash-Shaliheen, Awangku Muhammad Rafiuddin bin Pengiran Ramle.

Majlis sedemikian menzahirkan rasa kesyukuran dan tanda kasih Kehadapan Majlis Kebawah DYMM yang memimpin Negara Brunei Darussalam mengecapi begitu banyak kemajuan dan perkembangan yang begitu pesat membangun seperti yang kita nikmati sekarang, bukan itu sahaja, baginda seorang raja yang berpemedulian dan prihatin terhadap kebajikan dan kepentingan semua menjadikan ikon pemimpin yang disegani dan disayangi seluruh rakyat dan penduduk di negara ini malah dari pandangan kaca mata negara dunia yang lain. Daulat Kebawah Duli Tuan Patik dan semoga baginda kekal karar memerintah negara dengan aman dan maju jaya hendaknya.

 

SOURCE/AUTHOR : PELITA BRUNEI/Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

Venues

BSB

Comments (0)

No comments yet. Be the first to comment!

Leave a Comment

Total visitors: 3,720,794 | Today's visitors: 20,408
Updated: 20:31:03