• Today: July 13, 2026

Kebawah DYMM berangkat menyaksikan Kejohanan

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menyaksikan Kejohanan Polo Amal 2026 dan seterusnya menyempurnakan pengurniaan hadiah-hadiah kejohanan.

Berangkat sama pada kejohanan yang berlangsung di Royal Brunei Polo and Riding Club itu ialah paduka-paduka anakanda, adinda dan cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah binti Adam; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Wakeel; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Zahra Mariam Bolkiah.

Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijunjung oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dan Yang Amat Mulia Pengiran Sanggamara Diraja Mejar Jeneral (B) Pengiran Haji Ibnu Basit bin Pengiran Datu Penghulu Pengiran Haji Apong.

Kejohanan Polo Amal pada kali ini menyaksikan empat pasukan bersaing bagi merebut trofi kemenangan iaitu Pasukan The Purr-Fects, Lucky Hoofs, Flying Feathers dan The Un-bear-ables di mana perlawanan akhir menyaksikan pertemuan antara Pasukan The Purr-Fects bertemu Pasukan Lucky Hoofs.

Berkenan berangkat menyertai perlawanan ialah paduka-paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah mewakili Pasukan The Purr-Fects.

Manakala paduka adinda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berkenan menyertai Pasukan Lucky Hoofs.

Turut menyertai Pasukan Lucky Hoofs ialah anakanda DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar.

Pada perlawanan akhir tersebut, Pasukan The Purr-Fects yang diketuai oleh DYTM Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen berjaya menewaskan Pasukan Lucky Hoofs diketuai oleh YAM Pengiran Muda Bahar, dengan kiraan 5½ - 2, masing-masing dalam empat 'chukker' perlawanan.

Pada 'chukker' pertama menyaksikan Pasukan The Purr-Fects mendahului Pasukan Lucky Hoofs dengan kiraan 1½ - 1, di mana mata pertama Pasukan The Purr-Fects berjaya dihasilkan oleh DYTM Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen manakala mata bagi Lucky Hoofs dihasilkan oleh YAM Pengiran Muda Bahar.

Dalam 'chukker' kedua pula, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah berjaya menambah dua lagi jaringan buat Pasukan The Purr-Fects menjadikannya 3½ - 1.

Abdullah Afiq pula menambah satu lagi jaringan buat The Purr-Fects pada 'chukker' ketiga.

Pasukan Lucky Hoofs berjaya memperoleh mata tambahan pada 'chukker' keempat namun mata penalti bagi Pasukan The Purr-Fects pada 'chukker' terakhir itu menjadikan kedudukan 5½ - 2 sekali gus mengesahkan trofi kejohanan menjadi milik Pasukan The Purr-Fects.

Dengan keputusan tersebut, Pasukan Lucky Hoofs menyandang tempat kedua, diikuti Pasukan The Un-bear-ables meraih tempat ketiga dan tempat keempat diraih oleh Pasukan Flying Feathers.

Kejohanan Polo Amal yang dianjurkan oleh Pasukan Polo Brunei dengan kerjasama Persatuan Polo Diraja Brunei dan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam itu juga turut dimeriahkan dengan karnival, disertai oleh pengusaha-pengusaha jualan makanan dan minuman tempatan, di samping pelbagai aktiviti Fun Games untuk disertai oleh para pengunjung yang membanjiri acara tersebut mulai pukul 12.00 tengah hari lagi.

Para pengunjung turut dihiburkan dengan beberapa persembahan menarik daripada warga Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam. Selain itu, kejohanan tersebut juga dimeriahkan lagi dengan cabutan nombor bertuah bagi pemegang-pemegang tiket yang berpeluang memenangi pelbagai hadiah eksklusif dan menarik yang disediakan oleh pihak penganjur.

Hasil kutipan pada Kejohanan Polo Amal 2026 ini nanti akan disalurkan ke Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam untuk dimanfaatkan oleh warga serta orang-orang berkeperluan khas, dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam merupakan sebuah pertubuhan kebajikan amal bukan kerajaan, ditubuhkan bukan untuk meraih keuntungan dan sentiasa berusaha untuk menyampaikan perkhidmatan lebih baik kepada masyarakat, terutamanya kepada kanak-kanak istimewa di bawah jagaan pusat berkenaan dalam menyediakan pendidikan berkualiti, latihan vokasional dan perkhidmatan pemulihan bagi individu kurang upaya dan kurang intelektual.

Organisasi berkenaan juga berperanan untuk membimbing orang-orang muda, melatih dan mendidik mereka ke arah pembelajaran, kebebasan dan saling berdikari, dengan hasil pembangunan mental dan fizikal diri juga membantu mereka untuk menyesuaikan diri dalam kalangan keluarga mereka dan masyarakat sosial.​

 

SOURCE/AUTHOR : PELITA BRUNEI/Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman / Foto : Mohamad Azmi Awang Haji Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said, Muhammad Asri Awang Haji Abas, Na'il Haris Haji Muhd Nikman

Venues

BSB

Comments (0)

No comments yet. Be the first to comment!

Leave a Comment

Total visitors: 3,720,794 | Today's visitors: 20,408
Updated: 20:31:03