Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Leftenan Kolonel (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri berkenan berangkat ke Perlawanan Akhir Kejohanan Bola Sepak His Majesty The Sultan's Cup yang julung kalinya diadakan dan dianjurkan oleh British Forces Brunei (BFB).

Kejohanan berkenaan berlangsung di Kompleks Sukan Garison, BFB di Pekan Seria, Daerah Belait.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Leftenan Kolonel (U) Pengiran Muda 'Abdul Mateen dijunjung oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Tuan Yang Terutama Ken O'Flaherty; Pemerintah BFB, Leftenan Kolonel Peter Houlton-Hart MBE RGR; dan Gurkha Major Batalion Ke-2, The Royal Gurkha Rifles, Mejar Dillikumar Rai MVO RGR.

Sebelum perlawanan akhir berlangsung, Duli Yang Teramat Mulia berkenan meluangkan masa beramah mesra dengan para pemain, pegawai perlawanan, wakil-wakil BFB, jemputan khas, dan orang ramai yang turut hadir.

Berikutan perlawanan akhir yang sengit antara BFB dengan Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), DYTM dijunjung bagi mengurniakan piala His Majesty The Sultan's Cup kepada BFB yang berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 1 - 0, dan seterusnya berkenan mengurniakan tanda penghargaan kepada pasukan naib juara.

Sejurus selepas itu, Leftenan Kolonel Peter Houlton-Hart MBE RGR menyembahkan ucapan dan seterusnya DYTM berkenan menerima pesambah.

Sebelum keberangkatan balik, DYTM dijunjung bagi sesi bergambar ramai bersama pihak penganjur dan para pemain.

Kejohanan bola sepak berkenaan menampilkan 10 buah pasukan yang mewakili Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), BFB, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Pasukan Sekuriti Gurkha (PSG), serta pasukan-pasukan daerah dari seluruh NBD.

Adapun tujuan kejohanan diadakan adalah untuk memupuk semangat kesukanan, mengeratkan silaturahim, membina semangat kerja berpasukan, dan meningkatkan persefahaman bersama, sekali gus memperkukuh hubungan persahabatan yang telah sekian lama terjalin antara NBD dan United Kingdom (UK).

Kejohanan berkenaan menandakan satu lagi peristiwa penting dalam hubungan pertahanan dua hala antara NBD dan UK. Ia mencerminkan komitmen bersama kedua-dua buah negara untuk memperkukuh lagi kerjasama, persahabatan dan hubungan antara rakyat melalui sukan.

 

SOURCE/AUTHOR : PELITA BRUNEI/ Nurul Rasyidah Mohamad Rosland, Foto : Mohammad Hasif Matzin