• Today: July 19, 2026

Memperkukuh pembangunan AI secara bertanggungjawab, selamat, inklusif, bermanfaat

SHANGHAI, REPUBLIK RAKYAT CHINA, Sabtu, 18 Julai. - Persidangan 2026 World AI Conference (WAIC) dan High-Level Meeting on Global AI Governance telah berlangsung hari ini di Shanghai, Republik Rakyat China.

Persidangan berkenaan dengan tema 'AI Partnership for a Brighter Future', memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh pembangunan Kecerdasan Buatan (AI) secara bertanggungjawab, selamat, inklusif dan bermanfaat. Persidangan tersebut juga mengiktiraf teknologi AI berupaya mentransformasikan landskap ekonomi, sosial dan penyelidikan saintifik serta dijangka membawa perubahan dan membuka peluang baharu dalam mempercepatkan transformasi ekonomi, meningkatkan produktiviti serta memacu inovasi teknologi.

Persidangan dipengerusikan oleh Menteri Sains dan Teknologi, Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Yin Hejun, yang turut menekankan kepentingan mengimbangi aspek pembangunan dan keselamatan, inovasi dan tadbir urus, serta kepentingan negara dan kesejahteraan global.

Antara prinsip utama yang diketengahkan ialah pendekatan yang berpusatkan manusia, AI untuk kebaikan sejagat (AI for Good), keterangkuman serta tadbir urus secara kolaboratif. Selain itu, persidangan menyeru agar kerjasama antarabangsa untuk terus diperkukuh dalam menangani cabaran utama berkaitan pembangunan AI, termasuk memperkasa pembangunan kapasiti AI khususnya bagi negara-negara membangun.

Dalam persidangan berkenaan, Negara Brunei Darussalam (NBD) telah berkongsi tiga pencapaian utama yang mencerminkan komitmen negara dalam memanfaatkan AI dalam usaha pembangunan negara.

Pertama, pelaksanaan platform kesihatan berasaskan AI, yang mampu membuat diagnosis kemungkinan awal penularan penyakit, serta pengoptimuman penyampaian perkhidmatan kesihatan, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3, iaitu kesihatan yang baik.

Manakala kedua, iaitu pelancaran Brunei Darussalam AI Governance and Ethics Guidelines, sejajar dengan usaha serantau dalam memperkukuh pembangunan AI yang dipercayai, selamat dan bertanggungjawab melalui kerjasama bersama ASEAN dan rakan-rakan antarabangsa.

Sementara ketiga pula ialah pelaksanaan Digital Brunei 2030, yang akan mengintegrasikan AI antaranya dalam sektor pendidikan, tadbir urus kerajaan dan pembangunan industri ke arah memperkukuh ekonomi digital negara serta memperkasa rakyat dan perniagaan.

Dalam persidangan berkenaan jua, NBD turut menyampaikan pandangan mengenai bidang-bidang keutamaan kerjasama antarabangsa dalam tiga bidang utama. Pertama, keselamatan AI, yang memerlukan piawaian global serta mekanisme kerjasama rentas sempadan bagi melindungi sistem AI daripada ancaman siber, penyebaran maklumat palsu dan penyalahgunaan teknologi.

Manakala kedua ialah infrastruktur AI, dengan NBD menyokong penerokaan model infrastruktur yang lebih inklusif, termasuk pembangunan AI Hubs serantau dalam membolehkan negara-negara bersaiz kecil turut mendapat manfaat daripada kemajuan AI.

Sementara ketiga pula ialah pembangunan modal insan, yang menekankan kepentingan memperkukuh kemahiran digital melalui peningkatan kemahiran (upskilling), latihan semula (reskilling), program literasi AI serta pertukaran kepakaran di peringkat serantau.

NBD turut mengongsikan bahawa visi pembangunan AI kebangsaan adalah selaras dengan empat tonggak utama dalam persidangan berkenaan, iaitu memanfaatkan AI bagi menyokong pencapaian SDG khususnya dalam bidang kesihatan, pendidikan dan tindakan terhadap perubahan iklim, memperkukuhkan keselamatan siber dan menangani ancaman penyalahgunaan AI, mempromosi AI yang inklusif bagi menyokong pembangunan ekonomi kreatif dan kesejahteraan Masyarakat, serta memperkukuh tadbir urus AI global melalui pembangunan dasar dan peraturan yang inklusif, responsif dan mengambil kira keperluan semua negara.

NBD turut menyatakan kesediaannya untuk terus bekerjasama dengan semua rakan antarabangsa dalam mempromosi pembangunan AI yang selamat, inklusif, beretika dan berpusatkan manusia demi memastikan manfaat teknologi AI dapat dinikmati oleh seluruh masyarakat global.

Delegasi NBD ke WAIC 2026 telah diketuai oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.

Turut serta ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Awang Haji Hairul Mohd. Daud bin Haji Abdul Karim, bersama para pegawai MTIC.

Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping juga pada 17 Julai lalu telah menghadiri Majlis Pembukaan WAIC 2026 berkenaan dan seterusnya menyampaikan ucaptama.

Majlis pembukaan berkenaan turut dihadiri oleh Presiden Republik Kazakhstan, Tuan Yang Terutama Kassym-Jomart Tokayev; Perdana Menteri Kemboja, Tuan Yang Terutama Hun Manet; Perdana Menteri Thailand, Tuan Yang Terutama Anutin Charnvirakul; Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tuan Yang Terutama António Guterres; serta wakil-wakil rasmi kerajaan, pemimpin industri, ahli akademik dan para penyelidik dari lebih 100 buah negara dan organisasi antarabangsa.

Persidangan WAIC pada tahun ini menegaskan komitmen masyarakat antarabangsa terhadap prinsip 'AI for Good and for All', dengan matlamat serantau bagi merapatkan jurang pembangunan AI melalui pengukuhan kerjasama dalam bidang inovasi, pembangunan kapasiti dan tadbir urus AI.

Persidangan turut menekankan kepentingan mendukung Piagam PBB, menghormati kedaulatan negara dan kepelbagaian tamadun, mengamalkan multilateralisme, serta memperkukuh prinsip perundingan, sumbangan dan manfaat bersama dalam membentuk ekosistem AI global yang selamat, inklusif, bertanggungjawab dan mampan.

 

SOURCE/AUTHOR : PELITA BRUNEI/Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi

Venues

BSB

Comments (0)

No comments yet. Be the first to comment!

Leave a Comment

Total visitors: 3,720,794 | Today's visitors: 20,408
Updated: 20:31:03