Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam (BTHMUI) telah mengadakan lawatan kerja ke Hua Ho Agricultural Farm bagi meninjau teknologi, inovasi dan amalan terbaik dalam sektor penternakan dan pertanian moden sebagai usaha memperkukuh pengetahuan serta meneroka peluang kerjasama strategik ke arah menyokong agenda sekuriti makanan Negara Brunei Darussalam (NBD).

Rombongan lawatan telah diketuai oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal, juga Pengerusi Lembaga Pengarah BTHMUI dan Naib Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam (MUI).

Kehadiran rombongan dialu-alukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lau How Teck, selaku Pengarah Urusan Hua Ho Agricultural Farm.

Lawatan dimulakan di kompleks penternakan ayam penelur, dan rombongan diberikan taklimat mengenai penggunaan sistem close house yang mengaplikasikan teknologi automasi dalam pengurusan makanan dan minuman, kawalan suhu, pengudaraan serta sistem kutipan telur secara berterusan.

Rombongan turut berpeluang menyaksikan proses pengeluaran telur, penggredan, pemeriksaan kualiti dan pembungkusan sebelum dipasarkan kepada pengguna.

Seterusnya, rombongan dibawa melawat ke kawasan penanaman sayur-sayuran menggunakan sistem greenhouse, yang mengamalkan persekitaran tanaman terkawal bagi meningkatkan produktiviti, mengurangkan risiko serangan penyakit serta memastikan pengeluaran hasil yang berkualiti dan konsisten.

Lawatan turut merangkumi kemudahan penyimpanan hasil pertanian di bilik sejuk (cold room) sebagai sebahagian daripada rantaian pengurusan pascatuai sebelum hasil dihantar ke pasaran.

Hua Ho Agricultural Farm merupakan antara syarikat yang menerima pengiktirafan Brunei Darussalam Good Agricultural Practice (GAP) dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, sekali gus mencerminkan komitmennya terhadap amalan pertanian dan penternakan yang berkualiti, selamat dan mampan.

Lawatan kerja berkenaan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada BTHMUI mengenai penggunaan teknologi moden, inovasi serta pengurusan operasi dalam industri agromakanan, di samping bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama strategik yang boleh diterokai dalam pembangunan sektor pertanian dan penternakan, selaras dengan usaha memperkukuh sekuriti makanan negara.

Lawatan diakhiri dengan sesi perbincangan dan pertukaran pandangan antara kedua-dua belah pihak mengenai amalan terbaik serta peluang kerjasama yang berpotensi diterokai pada masa hadapan bagi menyokong pembangunan sektor agromakanan yang mampan di NBD.

 

SOURCE/AUTHOR : PELITA BRUNEI/Badan Tanmiah Harta Majlis Ugama Islam