• Today: July 12, 2026

Persediaan majlis kesyukuran sambut Hari Keputeraan dipastikan lancar

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Bagi memastikan kelancaran Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Maghrib, Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah dan Membaca Doa Kesyukuran sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-80 Tahun, Jawatankuasa Kerja Acara Keugamaan mengadakan tinjauan persediaan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong, petang kelmarin.

Hadir semasa tinjauan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Menteri Penyelaras bagi Dasar-dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-80 Tahun, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar serta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi yang lain.

Majlis Kesyukuran berkenaan akan diadakan pada Selasa, 14 Julai ini di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong sebagai pembuka tirai Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-80 Tahun.

Selain di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, acara keugamaan tersebut turut diadakan serentak di beberapa masjid tumpuan di seluruh negara.

Bagi Daerah Brunei dan Muara, masjid-masjid tumpuan ialah Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan; Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri; Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong; Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop; Masjid Sultan Sharif Ali, Mukim Sengkurong; Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun; Masjid Setia Ali, Pekan Muara serta Masjid Perpindahan Lambak Kanan.

Sementara itu, bagi Daerah Belait, masjid tumpuan ialah Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait; Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait dan Masjid Pekan Seria.

Di Daerah Tutong pula, acara akan diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, manakala bagi Daerah Temburong, masjid tumpuan ialah Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.

Majlis Kesyukuran berkenaan menjadi wadah untuk rakyat dan penduduk negara ini bersama-sama memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT, dikurniakan kesihatan, dilanjutkan usia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam.

Antara suasana semasa tinjuan persiapan tersebut. – GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

 

SOURCE/AUTHOR : Media Permata Online/YUSRIN JUNAIDI

Venues

BSB

Comments (0)

No comments yet. Be the first to comment!

Leave a Comment

Total visitors: 3,720,794 | Today's visitors: 20,408
Updated: 20:31:03