TEMBURONG, Sabtu, 25 Julai. – Dalam sama-sama memeriahkan lagi suasana Pentas Perayaan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80, Imagine Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Hengyi Industries melancarkan Jelajah Pertunjukan Cahaya Dron dan Bunga Api buat kali pertama yang berlangsung di kawasan Dermaga Pekan Bangar, malam tadi.

Pertunjukan Cahaya Dron dan Bunga Api tersebut dihadiri oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Sulaiman bin Haji Nasir, Ketua Kampung Labu Estet dan Piasau-Piasau; Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke NBD, Tuan Yang Terutama Chen Shaochun dan pegawai-pegawai dari Imagine Sdn. Bhd.

Jelajah ini merupakan satu penghormatan terhadap kepimpinan serta dedikasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sepanjang hampir enam dekad pemerintahan baginda, menerusi gabungan teknologi, kreativiti dan penceritaan.

Persembahan dimulakan dengan pertunjukan cahaya melibatkan 800 dron, sekali gus menandakan pelancaran rasmi pertunjukan tersebut. Persembahan udara yang diselaraskan itu menghiasi langit malam dengan animasi yang memukau serta formasi simbolik yang memberi penghormatan kepada legasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, di samping mencerminkan perpaduan, ketahanan, identiti budaya dan aspirasi masa depan NBD.

Persembahan itu turut meraikan Ulang Tahun Ke-35 Hubungan Diplomatik antara NBD dan Republik Rakyat China.

 

 

SOURCE/AUTHOR : PELITA BRUNEI/Rohani Haji Abdul Hamid