• Today: January 16, 2026

Mandat baharu pacu pertumbuhan PMKS melalui pembangunan sumber manusia

KIULAP, Isnin, 8 Disember. - Cabaran-cabaran yang dihadapi oleh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) adalah bersifat kompleks dan tidak dapat ditangani oleh Kerajaan semata-mata; malah ia memerlukan keterlibatan yang lebih mendalam serta penyertaan aktif antara agensi kerajaan, syarikat-syarikat swasta dan institusi pendidikan. Cabaran ini bukanlah sesuatu yang unik kepada Negara Brunei Darussalam (NBD), namun pendekatan kita perlu bersifat pragmatik, berasaskan kerjasama dan selaras dengan keutamaan negara bagi mencapai Wawasan Brunei 2035. “Mandat kita adalah jelas, kita mesti menghapuskan halangan yang menyekat pertumbuhan perniagaan, membina kemahiran dan kapasiti sumber manusia yang diperlukan oleh PMKS kita, serta menghasilkan keputusan yang nyata serta berimpak tinggi dapat dicapai," demikian ujar Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah selaku Pengerusi Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) pada Siri Meja Bulat PMKS kali Ke-2 berlangsung di salah sebuah hotel di Kiulap. Terdahulu dalam ucaptamanya, Yang Berhormat menjelaskan, PMKS merupakan tunjang kepada ekonomi domestik NBD, merangkumi lebih 93 peratus daripada perniagaan sektor swasta yang menggaji majoriti tenaga kerja negara. Dengan lebih daripada 6,400 PMKS aktif yang meliputi sektor perdagangan, perkhidmatan makanan, pembuatan dan digital, perusahaan-perusahaan ini memainkan peranan penting dalam agenda pemelbagaian ekonomi negara. Yang Berhormat mengongsikan, tinjauan Tenaga Buruh NBD 2024 menganggarkan 346,000 penduduk usia bekerja dengan kadar penyertaan tenaga buruh sebanyak 67.4 peratus. Walaupun kadar pengangguran menurun kepada 4.7 peratus, PMKS masih berdepan cabaran berterusan dalam pengambilan pekerja, pengekalan bakat dan jurang kemahiran dalam bidang operasi, teknikal dan digital. Menurut Yang Berhormat lagi, kaji selidik berasaskan majikan menunjukkan lebih 60 peratus majikan berdepan isu pengekalan kerana pekerja tempatan mencari gaji dan peluang kemajuan yang lebih baik. “Walaupun ini membimbangkan, perkembangan ini juga menunjukkan bahawa tenaga kerja kita bercita-cita tinggi dan aktif mencari pertumbuhan. Ini bermakna cabaran kita bukan untuk menghentikan pergerakan ini, tetapi untuk memperkasa PMKS agar mereka dapat menawarkan laluan kerjaya yang lebih menarik demi memenuhi aspirasi negara. Namun, lebih 35 peratus majikan turut melaporkan pekerja berhenti tanpa notis, menjejaskan operasi dan kestabilan pasukan," tambah Yang Berhormat. PMKS jelas Yang Berhormat juga menyuarakan kebimbangan terhadap tempoh pengambilan pekerja asing yang panjang, khususnya dalam sektor yang kekurangan kemahiran tempatan. Kita perlu mengurus kebergantungan ini secara strategik sambil terus membangunkan kapasiti tempatan. Pada masa yang sama, proses mesti diperhalus agar perniagaan mendapat akses tepat pada masanya kepada tenaga kerja yang diperlukan bagi menjamin kelancaran operasi dan pertumbuhan berterusan. Sehubungan itu tambah Yang Berhormat, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengambil langkah-langkah penting untuk merapatkan jurang tenaga kerja dengan menubuhkan Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan bagi menyelaraskan pembangunan tenaga kerja dengan keperluan industri, serta Jawatankuasa Pengarah Industri Tenaga Manusia bagi menyatukan sektor perniagaan, pengawal selia dan institusi pendidikan dalam mengenal pasti kemahiran kritikal. Garis panduan gaji dan dasar gaji minimum turut diperkenalkan bagi memastikan bayaran yang adil dan menggalakkan peningkatan kemahiran manakala platform digital seperti JobCentre Brunei dan Sistem Pengurusan Tenaga Kerja Kebangsaan telah diwujudkan untuk menyediakan sistem pemadanan pekerjaan yang lebih telus dan efisien. Ke arah hadapan ujar Yang Berhormat, kerjasama lebih erat antara semua pemegang taruh utama adalah diperlukan untuk memperkemas proses sedia ada. Matlamat kita adalah untuk meningkatkan kemudahgunaan dan ketelusan, dan memastikan perniagaan mempunyai kelincahan yang diperlukan dalam urusan penempatan tenaga kerja. Yang Berhormat juga menegaskan, cabaran tenaga kerja kita turut dipengaruhi oleh revolusi Kecerdasan Buatan (AI) global, yang berpotensi meningkatkan atau menggantikan sehingga 57 peratus pekerjaan, dengan kesan terhadap 164 juta pekerja di seluruh Asia Tenggara. “Di Brunei, kebimbangan utama adalah jurang kesiapsiagaan kemahiran yang semakin melebar kerana automasi tugas rutin mungkin meningkatkan kebergantungan kita terhadap bakat asing untuk mengendalikan alatan AI canggih yang belum dikuasai tenaga kerja tempatan. “PMKS kita mesti melabur dalam literasi AI, manakala majlis-majlis kebangsaan perlu segera mengintegrasikan alatan AI dalam semua kurikulum latihan. Dengan bekerjasama untuk menerima AI secara strategik sebagai alat untuk mempertingkatkan keupayaan tempatan, kita dapat membekalkan tenaga kerja kita dengan kemahiran masa depan, mengurangkan gangguan, dan memastikan peralihan yang adil serta inklusif bagi semua sektor ekonomi kita," terang Yang Berhormat.

Venues

Comments (0)

No comments yet. Be the first to comment!

Leave a Comment

Total visitors: 3,720,794 | Today's visitors: 20,408
Updated: 20:31:03