• Today: February 18, 2026

DPMM FC kutip 3 mata penuh

BERAKAS, Ahad, 7 Disember. - DPMM FC berjaya meraih tiga mata penuh setelah menewaskan Imigresen FC dengan keputusan 4 - 2 dalam saingan Liga Super Malaysia 2025 / 2026 yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, malam tadi. Berangkat menyaksikan perlawanan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman. Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah. Berangkat sama, anakanda-anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah, dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah. Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad. Pada babak pertama, Imigresen FC mendahului perlawanan dengan menjaringkan gol pertamanya pada minit ke-5 melalui Wilmer Jordan. Selang lapan minit kemudian, DPMM FC menyamakan kedudukan dengan menjaringkan satu gol melalui Azwan Ali Rahman, dan menambah lagi dua gol pada minit ke-21 dan minit ke-26 melalui jaringan Hakeme Yazid Said. Imigresen FC mula bangkit pada babak kedua perlawanan setelah Wilmer Jordan sekali lagi menjaringkan gol kedua pasukannya menerusi sepakan penalti. Walaupun hujan turun dengan lebat, DPMM FC tetap mempertahankan kedudukan mereka dengan menyudahkan gol keempatnya melalui Miguel Oliveira pada minit ke-86. DPMM FC akan menentang Sabah FC pada Sabtu, 20 Disember 2025. Sementara itu, DPMM FC kini berada di kedudukan ke-10 dengan kutipan lapan mata, manakala Imigresen FC kekal di kedudukan kesembilan dengan kutipan sembilan mata.

Venues

Comments (0)

No comments yet. Be the first to comment!

Leave a Comment

Total visitors: 3,720,794 | Today's visitors: 20,408
Updated: 20:31:03