• Today: February 18, 2026

OKU ciptaan Allah penuh hikmah, kemuliaan

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 7 Disember. - Dalam Islam, orang kelainan upaya (OKU) bukan kekurangan tetapi ciptaan Allah yang penuh hikmah dan kemuliaan. Al-Quran menegaskan manusia dicipta dalam sebaik-baik kejadian, dan kerana itu, Islam mengharamkan segala bentuk penghinaan, diskriminasi, atau merendahkan mereka. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menunjukkan teladan jelas melalui layanan Baginda terhadap sahabat OKU seperti Ibn Umm Maktum, yang bukan sahaja dimuliakan bahkan diberi amanah besar sebagai mu'azzin, guru Al-Quran, dan penjaga Madinah ketika Nabi keluar berperang. Sejarah Islam turut membuktikan bahawa ramai tokoh besar merupakan individu OKU yang menjadi aset ummah. Antaranya 'Ataa' ibn Abi Rabaah (27 Hijrah(H) hingga 114H), seorang ulama tabi'in yang buta dan lumpuh separa, namun dilantik sebagai mufti besar Mekah dan menjadi guru kepada generasi tabi'in serta perawi utama ilmu fekah dan tafsir. Demikian antara perkara yang ditekankan di dalam tazkirah yang disampaikan oleh Penolong Pensyarah Pusat Kajian Fiqh Kontemporari, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Hilman bin Haji Salim, bagi menyerikan Munajat Khas anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) kali Ke-210 sempena Sambutan Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya (HAOKU) Tahun 2025. Jelasnya lagi, begitu juga al-A'mash, Sulaiman ibn Mihran (61H hingga 148H), seorang tabi'in kecil yang rabun dan lemah fizikal, tetapi beliau menjadi antara perawi hadis paling tsiqah (kredibel) dan rujukan utama dalam ilmu sanad hingga hari ini. Tambahnya, mereka membuktikan bahawa potensi, ilmu dan kepimpinan tidak terhalang oleh kekurangan fizikal. OKU juga mempunyai hak sosial, pendidikan dan ibadah, termasuk 'rukhsah' yang menunjukkan rahmah syariat. "Mereka bukan beban, tetapi sebahagian daripada kekuatan ummah. Oleh itu, masyarakat dan institusi bertanggungjawab menyediakan sokongan, akses dan peluang yang adil untuk memuliakan mereka, agar komuniti kita menjadi lebih penyayang, inklusif dan diberkati Allah," ujarnya. Program Malam Munajat berkenaan disertai oleh pegawai-pegawai dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan jemaah daripada beberapa buah masjid seluruh negara serta warga kerja KHEU dan juga individu yang mengikuti program berkenaan secara maya dari kediaman masing-masing. Atur cara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Pemangku Pengarah Muzium-Muzium, KKBS, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus, dari Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan), Kampung Bengkurong. Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Pegawai Pelajaran, Ketua Unit Sekolah Ugama, Bahagian Pendidikan Khas Ugama, Jabatan Pengajian Islam (JPI), KHEU, Awang Haji Mohammad Suffri Sofian bin Haji Mohammad Umar, dari Pusat Ehsan. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Pegawai Pelajaran, Bahagian Pelajaran Lanjutan, JPI, KHEU, Awang Haji Sufri bin Amit @ Othman, dari Pusat Ehsan. Selesai tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat beramai-ramai dipimpin oleh Pegawai Pelajaran Kanan, Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Pengiran Haziq Al-Mukhtar bin Pengiran Haji Shahbudin. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam (NBD) dibacakan oleh Pemangku Ketua Guru Ugama, Pemangku Pegawai Pembangunan Masyarakat, Pusat Bahagia Daerah Brunei dan Muara, KKBS, Awang Haji Nuurmatin bin Haji Abu Bakar, dari Pusat Ehsan. Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai ramai dengan penuh pengharapan agar NBD berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit.

Venues

Comments (0)

No comments yet. Be the first to comment!

Leave a Comment

Total visitors: 3,720,794 | Today's visitors: 20,408
Updated: 20:31:03