• Today: July 19, 2026

11 graduan terima pengiktirafan, penghargaan atas pencapaian cemerlang

Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pengurusan Biasiswa hari ini mengadakan Majlis Anugerah Graduan Cemerlang Tahun 2026 bertempat di Ruang Legar, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB).

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal.

Pada tahun ini, seramai 11 graduan di bawah Skim Biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke Luar Negeri dan Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan (SBPP) yang telah berjaya memperoleh keputusan kepujian Kelas Pertama (First Class Honours) bagi Ijazah Sarjana Muda setelah tamat pengajian mereka pada 2025.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Ketua Pegawai Dermasiswa dan Kebajikan dari Jabatan Pengurusan Biasiswa, Awang Haji Raminey bin Haji Salleh, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah, Jabatan Pengurusan Biasiswa, Dayang Rosimah Sumainah binti Haji Matassim.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian plak dan sijil penghargaan kepada para graduan oleh tetamu kehormat majlis, sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

Tujuan majlis berkenaan diadakan adalah untuk memberikan pengiktirafan dan penghargaan atas usaha para graduan dalam mencapai kelulusan yang cemerlang.

Di samping itu, ia juga diharap dapat menjadi sumber inspirasi dan galakan kepada para pelajar lain agar lebih bersemangat untuk meraih kejayaan dalam pengajian mereka.

Juga hadir, Setiausaha-setiausaha Tetap, Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam, Pemangku Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Pemangku Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan.

 

SOURCE/AUTHOR :  PELITA BRUNEI/Nooratini Haji Abas

Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

Venues

BSB

Comments (0)

No comments yet. Be the first to comment!

Leave a Comment

Total visitors: 3,720,794 | Today's visitors: 20,408
Updated: 20:31:03