BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 27 Julai. - Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Omar 'Ali Saifuddien (MOAS) pagi tadi mengadakan Majlis Perasmian Logo Rasmi MOAS dan Mahrajan sempena Ulang Tahun Ke-68 MOAS yang diadakan di masjid berkenaan, ibu negara, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan perasmian logo rasmi MOAS serta Mahrajan berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

Penganjuran majlis berkenaan bertujuan untuk memperkenalkan logo rasmi MOAS sebagai identiti rasmi yang melambangkan sejarah, aspirasi serta peranan masjid sebagai pusat ibadah, dakwah dan warisan Islam.

Di samping itu, program berkenaan bertujuan untuk mengimarahkan masjid, mengukuhkan penghayatan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB), serta mengeratkan hubungan antara pihak pengurusan masjid, jemaah dan masyarakat.

Penguasa MOAS, Awang Zulkifli bin Haji Murat semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya selaku Pengerusi Majlis antara lain menjelaskan bahawa MOAS yang berdiri megah berkenaan bukanlah sekadar sebuah bangunan ibadah tetapi ia merupakan mercu tanda keagungan syiar Islam di bumi Darussalam.

"Melangkah ke usia 68 tahun penubuhannya, masjid ini terus teguh memayungi ummah. Seiring dengan kematangan usia tersebut, pelancaran logo baharu yang akan disaksikan sebentar lagi merupakan satu detik bersejarah.

"Logo rasmi yang baharu ini direka bukan sahaja sebagai satu identiti visual yang segar, malah ia membawa visi dan manifestasi baharu," ujarnya lagi.

Awang Zulkifli seterusnya berkata, ia melambangkan iltizam pihak pengurusan masjid untuk terus relevan, dinamik dan proaktif dalam menyebarkan dakwah serta menyatukan komuniti, selaras dengan peredaran zaman tanpa mengetepikan nilai-nilai warisan sejarahnya yang amat bernilai.

Sepanjang Mahrajan berlangsung, pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat diadakan, antaranya lawatan berpandu sekitar masjid, galeri sejarah, demonstrasi tulisan Jawi dan seni khat, sudut kanak-kanak, aktiviti memanah, pameran permainan tradisional, kuiz Melayu Islam Beraja (MIB) dan sejarah masjid, jualan buku serta bahan ilmiah Islam, pameran kesihatan, Kempen Derma Darah, dan reruai jualan.

Program berkenaan dibukakan kepada pegawai dan kakitangan kerajaan, pelajar institusi pengajian tinggi, jemaah masjid, belia dan beliawanis, kumpulan Muslimah, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), pelancong dari dalam dan luar negara, serta orang ramai.

Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan sambutan berkenaan sebagai tanda penghargaan terhadap warisan MOAS yang menjadi mercu tanda kegemilangan Islam di Negara Brunei Darussalam.

Melalui penganjuran berkenaan juga diharap dapat memperkukuh lagi peranan masjid sebagai pusat ibadah, ilmu, perpaduan dan pembangunan ummah.

Juga hadir, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Dr. Awang Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd. Salleh; serta pengarah-pengarah, pegawai dan kakitangan dari KHEU dan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri.

 

SOURCE/AUTHOR : PELITA BRUNEI/Pg. Syi’aruddin Pg. Dauddin, Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman